Memulakan bisnes cetakan baju anda sendiri tidak susah sekiranya anda mendapat panduan yang betul. Sebaiknya cari mentor/guru yang sememangnya bertapak di dalam industri yang sama sekurang-kurangnya 3-5 tahun. Lebih-lebih lagi jika bisnes tersebut sangat renyah dan setiap satu kesilapan mempunyai bayarannya yang tersendiri.

Mentor/guru anda lah yang akan meminima kan kesilapan dengan mengajar apa yang tidak salah & mempercepatkan proses pembelajaran anda daripada anda terus cuba & jaya pada setiap masa. Pembelajaran ini dimulakan dengan perkara paling asas iaitu cara mem-bikin (seperti yang diceritakan oleh Pocip Rizal) blok cetakan baju.

Tutorial ini telah disumbangkan oleh seorang pengusaha cetakan baju iaitu Pocip Rizal Uncart.

Langkah 1

Buat frame mengikut saiz design yang diperlukan. Untuk melakukannya, bolehlah gunakan kayu terbuang sekalipun, asalkan rata.

Langkah 2

Potong kain saring (mesh), dan lebihkan sedikit supaya senang untuk anda tarik untuk ditegangkan kemudian. Kain saring ini boleh beli dari kedai-kedai yang menjual alatan silkscreen.

Langkah 3

Gunakan staple gun untuk lekatkan mesh (kain saring) dan tembak rapat-rapat. Kalau buleh condongkan 45 darjah semasa anda staple-kan ke atas mesh tersebut.

Langkah 4

Tarik mesh (kain saring) dengan tegang (Sila gunakan super power anda…. hewhhehheh) sambil anda stapler di sekelilingnya.

Langkah 5

Setelah siap, potongkan lebihan mesh (kain saring) tadi. Trim yang cantik dan kemas akan memudahkan anda bekerja menggunakannya pada masa akan datang. Jadi, elok untuk anda sentiasa kekalkan kekemasannya.

Langkah 6

Blok anda hampir siap. Pada tahap ini, anda boleh mencuci terlebih dahulu. Gunakan shampoo untuk menjadikannya lebih wangi. Selepas itu, keringkan (jemur).

Langkah 7

Sementara menunggu blok anda kering, sediakan filem (design anda) seperti foto di bawah. Dalam foto ini, Pocip hanya menggunakan tracing paper sahaja. Jika anda ingin gunakan kertas A4 boleh juga, tapi pastikan anda menyapu minyak masak terlebih dahulu. Jika tidak, cahaya tidak dapat menembusinya (lebih kurang tracing paper jugalah akhirnya)

Tip. Pastikan juga design tersebut berwarna hitam gelap.

Langkah 8

Adakah Blok anda sebentar tadi sudah kering? Jika YA, tiba masanya untuk menyapu Photo-Emulsion (bahan ini boleh dibeli di kedai-kedai menjual barangan silkscreen).

Sapukan senipis yang buleh pada bahagian depan dan belakang. Gunakan Emulsion Coater. Jika tiada, gunakan pembaris plastik pun sudah memadai. Asalkan rata.

Sila lakukan proses ini di dalam bilik yang gelap. Atau di tempat yang tidak dimasuki/ditembusi cahaya matahari. Ini kerana bahan ini sangat sensitif dengan cahaya matahari (Sinar UV).

Langkah 9

Setelah selesai, simpan blok anda di tempat yang gelap dan biarkan sehingga kering. Biasanya Pocip biarkan selama sehari. Tunggu sehingga blok betul-betul kering.

Tip. Sekiranya anda malas nak tunggu seharian, boleh gunakan kipas atau hair-dryer. Walauapapun, matlamatnya adalah untuk memastikan ia betul-betul kering.

Langkah 10

Langkah ini bermula apabila blok anda telah betul-betul kering.

Letakkan filem (design anda) di atas blok dan pegang setiap sisi filem pada blok menggunakan pita selofan agar ia tidak bergerak-gerak. Sangat penting untuk memastikan ia langsung tidak bergerak-gerak.

Langkah 11

Merupakan proses untuk memasak blok. Anda tidak salah dengar. Namun, bukan seperti memasak nasi goreng.

Letakkan blok dan filem tadi di atas exposure unit (lampu kalimantang 4 biji) dan lapikkan bahagian atas dengan mounting board. Letakkan pemberat supaya blok tadi rapat dengan cermin. Masak selama 3-5 minit (mengikut jenis emulsion yang digunakan).

Nota. Lain Emulsion yang digunakan, lain jangka masa memasak. Anda perlu cuba dahulu dan dapatkan maklumat daripada kedai-kedai yang anda beli tadi.

Langkah 12

Setelah masak, bawa blok ke bilik air untuk ditembak dengan air. Pada tahap ini, Emulsion yang tidak masak akan tertanggal. Lakukan dengan cermat agar tidak merosakkan blok.

Langkah 13

Tembak menggunakan air biasa (paip) sehingga bersih! Sesekali, halakan ke lampu (bilik air anda) untuk melihat samada blok anda sudah betul-betul bersih atau ada yang miss atau tidak.

Langkah 14

Siap!

Untuk tutorial seterusnya, Pocip akan kongsikan pula bagaimana caranya untuk menyediakan blok untuk cetakan.

Secara ringkasnya, ia adalah tutorial proses membuat blok untuk silkscreen (cetak baju). Jika anda berminat untuk belajar secara lebih terperinci, boleh sertai kelas Pocip Rizal Uncart. Sekian dahulu.

 

Sumber tutorial.